Jan 13, 2025 - FASSelangor FC berjaya mengekalkan warna Merah dan Kuning di laman Stadium MBPJ selepas kemenangan 1-0 menentang seteru Derbi Lembah Klang, Kuala Lumpur City FC, semalam.
Seawal minit ke-4 perlawanan, Faisal Halim membuat percubaan yang hampir membuka jaringan pertama beliau selepas kembali beraksi tetapi bola melepasi palang. Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC telah memulakan perlawanan dengan melakukan asakan demi asakan dalam separuh masa pertama, namun tiada jaringan menembusi gol kedua-dua pasukan. Separuh masa kedua, tonggak Gergasi Merah, Alvin Fortes, berjaya menjaringkan gol tunggal derbi Lembah Klang kali ini, selepas pasukan lawan cuba mengeluarkan bola percubaan Mukhairi Ajmal jatuh tepat ke kaki Alvin Fortes, lalu beliau merembat masuk bola tersebut pada minit ke-63 perlawanan. Di hujung aksi #SFCKLC, pasukan lawan telah membuat percubaan demi percubaan namun nasib menyebelahi pasukan. Perlawanan berakhir dengan keputusan 1-0.
Menurut ketua jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, gembira dengan kemenangan tetapi mahu pasukan terus kerja keras untuk perlawanan seterusnya.
“Saya sangat berpuas hati dengan keputusan itu, tetapi kami mesti terus mara ke hadapan dan menjalani sesi latihan yang baik untuk tiga perlawanan seterusnya menentang Penang FC. Bagi saya, ini adalah usaha berpasukan, dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain saya, termasuk mereka yang tidak dapat bermain hari ini.”
“Mengenai perubahan posisi, sebagai jurulatih, ada kalanya kami perlu membuat beberapa penyesuaian untuk disesuaikan dengan kemampuan pemain. Sebagai contoh, dalam perlawanan semalam, Nikola Jambor bermain sebagai bek tengah. Kadang-kadang semasa perlawanan, saya juga melakukan beberapa perubahan. Ini hanyalah keputusan taktikal.”
“Kami akan sentiasa belajar daripada setiap perlawanan yang kami mainkan, bertujuan untuk menambah baik dan menggembirakan peminat dengan persembahan kami. Ini misi kami.”
Daripada perlawanan #SFCKLC dalam perlawanan Liga Super 2024/25 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Faisal Halim, kapten pasukan dan MOTM Derbi Lembah Klang
Pemain sayap pasukan, Faisal, berjaya membuat ‘comeback’ setelah kejadian simbah acid yang beliau lalui. Semalam, beliau telah mendapat kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan. Beliau telah beraksi dengan cemerlang semalam dengan beberapa percubaan, menjadikan beliau pilihan terbaik MOTM perlawanan Derbi Lembah Klang kali ini.
Alvin Fortes terus garang
Fortes telah menjaringkan tiga perlawanan Liga Super 2024/25 berturut-turut termasuklah dalam Derbi Lembah Klang semalam. Beliau merupakan antara tonggak barisan serangan Gergasi Merah yang sentiasa terlibat setiap serangan yang dilakukan. Secara keseluruhan, beliau telah menjadikan 8 gol.
Pihak pengurusan Selangor FC ingin mengucapkan terima kasih kepada para penyokong yang telah Merah Kuningkan Stadium MBPJ semalam. Sokongan anda amat kami hargai.
Seterusnya, minggu ini Selangor FC akan menentang Penang FC dalam perlawanan Separuh Akhir Challenge Cup 2024/25 pada 19 Januari ini di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada jam 8:30 malam.
Demi Kebanggaan!